PENGENALAN

Sejarah Sekolah Kebangsaan Kua

Sekolah ini ditubuhkan pada pertengahan tahun 1949. Tokoh yang menjadi pengasas tertubuhnya sekolah ini ialah Tuan Haji Ahmad bin Salleh P.J.K. Beliau ialah penghulu kampung ini pada masa itu. (Ada maklumat percakapan mengatakan sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1943 tetapi tiada sebarang catatan rekod sehingga tahun 1949).

Pada permulaannya, sekolah ini dikelolakan oleh orang-orang kampung. Guru yang mula bertugas di sini ialah Cikgu Baharun bin Sulaiman. Beliau adalah penduduk setempat dan telah mengajar selama hampir tiga tahun tanpa dibayar sehinggalah beliau menjawat jawaan polis pada tahun 1952.

Bagi menangani isi ketiadaan guru ini, penghulu dengan persetujuan orang-orang kampung telah melantik Encik Ab. Ghani bin Kassim sebagai pengganti Cikgu Baharun. Beliau digajikan oleh orang-orang kampung engan bayaran RM30 sebulan. RM20 disumbang oleh orang-orang kampung manakala RM10 adalah sumbangan penghulu.

Setelah selama setahun 4 bulan bayaran ditanggung oleh orang-orang kampung, dengan usaha penghulu, sekolah ini telah diambil alih pentadbirannya oleh Pejabat Pendidikan Terengganu dan dijadikan sekolah kerajaan. Encik Ab. Ghani bin Kassim telah dilantik sebagai Guru Rakyat dengan gaji RM40 sebulan. Beliau direkodkan sebagai Guru Besar pertama di sini.

Pada permulaan ianya dibuka, sekolah ini mempunyai lebih kurang 60 orang murid. Darjah yang tertinggi ialah darjah 3 sahaja. Saiz bangunan ketika itu ialah 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang. Ianya berupa sebuah bangsal, beratap daun sagu, berdinding buluh, tiada bangku dan berlantaikan tanah liat.

Pada masa itu, hanya seorang guru sahaja ditugaskan di sekolah ini. Bahasa pengantar yang digunakan dari permulaan dibuka hingga sekarang ialah Bahasa Melayu. Mengikut rekod (1949 hingga 1971), seramai 20 orang guru telah bertugas di sini dan 337 murid yang berdaftar.

Tanah kawasan sekolah ini pada ketika itu ialah kepunyaan orang kampung. Pada tahun 1952, tapak bangunan sekolah ini dan kawasannya telah diserahkan dan menjadi kepunyaan Kerajaan Persekutuan. Luas kawasan sekolah ini sekarang ialah 4 ekar 2 pole. Bangunan sekolah ini sekarang ialah bangunan separuh kekal. Bangunan sekarang ada 3 buah. Satu didirikan pada tahun 1952 (60 kaki x 20 kaki), sebuah lagi didirikan pada tahun 1965 (70 kaki x 23 kaki) dan yang terakhir sebuah bangunan 4 tingkat yang didirikan pada tahun 2005.

(....rujuk sumber - skrip surat bertaip oleh Cikgu Yusof Awang, Guru Besar ketika itu - bertarikh 30 Jun 1971)




VISI
Menjana Pendidikan Terbilang

MISI
Meningkatkan Keberkesanan Aktiviti Pendidikan Bagi Melahirkan Insan Yang Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan Beramal Soleh


MOTO
Akhlak Terjaga, Prestasi Menjelma



LAGU SEKOLAH

Berdirinya Sekolah Kebangsaan Kua
Mendidik Anak-Anak Bangsa
Menjadi Tunggak Negara Malaysia
Negara Yang Tercinta

Kami Murid-Murid Muslimin Muslimat
Pewaris Generasi Terkini
Kami Bersedia, Berusaha, Berbakti
Untuk Ibu Pertiwi

Kami Berjanji, Kami Berikrar
Untuk Terus Berjaya
Berilmu, Beriman, Beramal, Berbakti
Itulah Janji Kami

PadaMu Ya ALLAH Kami Berserah
Semoga Cita-Cita Kami
Akan Terlaksana Dan Tercapai Jua
Di Suatu Hari Nanti